Rabu, Oktober 17, 2007

Hari ini dalam tahun 1947: 17 Oktober

Ulangtahun kedua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Hari ini dalam tahun 1947, genaplah umur PKMM dua tahun setelah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Berlandaskan Dasar2 Party Kebangsaan Melayu, cita-cita asas penubuhannya ialah untuk mencipta sebuah negara kebangsaan yang merdeka berdasarkan kedaulatan rakyat.

Di bawah merupakan petikan dari program TV Hari Ini Dalam Sejarah yang pernah ke udara suatu ketika dahulu di RTM.

Pada hari ini dalam tahun 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditubuhkan. Parti ini lahir dari ruangan Jabatan Pengarang dan pentadbiran akhbar Suara Rakyat menjadikan ia parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Matlamat utama perjuangan PKMM ialah menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. PKMM juga berusaha mengatasi masalah orang Melayu di segi pelajaran, sosial dan ekonomi serta kebebasan mencetak dan bersuara.

Sebulan selepas kelahirannya, PKMM telah menubuhkan cawangannya di beberapa buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Perak, Melaka dan Singapura. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan "Voice of the People".

Antara perjuangan PKMM pada peringkat awal penubuhannya ialah "Malaya adalah sebahagian dari Indonesia" dan "Sang Saka Merah Putih jadi cogan lambang Kebangsaan", iaitu perjuangan mewujudkan gagasan Melayu Raya/Indonesia Raya yang menyatukan negeri-negeri di Nusantara.

Berikut ialah lagu kebangsaan PKMM pada ketika itu, lagu "Indonesia Raya" yang telah digubah pada tahun 1928 yang kemudiannya menjadi lagu kebangsaan Republik Indonesia.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya orang Indonesia, Terharu dan menitiskan air mata mendengar lagu kebangsaan PKMM sekaligus lagu NKRI ini. Malaysia dan Indonesia adalah bersaudara, Tapi mengapa Kita saling berebut klim atas sesuatu yang kita punya bersama selama berabad-abad.

Mari kita Bangun kerjasama abadi Indonesia-Mlaysia demi kemakmuran Nusantara....Amin.

scotchmist berkata...

nice one
Indonesia Malaysia sebenarnya bersaudara
Diharapkan kita sama-sama membangun dan bekerjasama. Bukanlah bertengkar dan bercakar sesama sendiri. Amin.