Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari majalah Kenchana bilangan 12, bertarikh 1 Nov 1947, sepuluh hari selepas mogok Hartal Se-Malaya. Kenchana merupakan majalah bulanan tulisan rumi yang diterbitkan 2 kali sebulan di Singapura di bawah ketua pengarang Harun Aminurrashid.
Sumber: Majalah Kenchana, Bilangan 12, 1 Nov 1947
Rabu, September 10, 2008
Kartun Politik: Hartal Se-Malaya (1947) Revisited
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
11:03 PTG
2
ulasan
Kategori: Hartal, Kartun Politik
Isnin, Mac 10, 2008
Kartun Politik: Raja Itu Rakyat, Rakyat Itu Raja (1948)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 9 Feb 1948. Kartun ini diiringi dengan teks berikut:
Ingat, jangan lupa! Kesimpulan dasar UMNO
RAJA ITU RAKYAT
RAKYAT ITU RAJA
Cogankata ini mula digunakan semasa perjuangan rakyat menentang Malayan Union yang menyaksikan Raja² Melayu membelakangi kedaulatan rakyat dengan menandatangai perjanjian MacMichael, menyerahkan kuasa pemerintahan negeri masing² kepada kerajaan kolonial British. Selepas UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, mereka menggunakan cogankata yang sama dalam perjuangan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dan memulihkan kedudukan Raja² Melayu.
Sumber: Akhbar Majlis, 9 Feb 1948
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
11:59 PTG
0
ulasan
Kategori: Kartun Politik
Rabu, Februari 27, 2008
Kartun Politik: Angin Federation (1948)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 5 Jan 1948 menunjukkan bahtera U.M.N.O. memintas sampan² P.K.M.M, C.J.A, PUTERA dan M.D.U. menuju ke pelabuhan Federation of Malaya.
Sumber: Akhbar Majlis, 5 Jan 1948
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
11:42 PTG
5
ulasan
Kategori: Kartun Politik, UMNO
Jumaat, Februari 15, 2008
Kartun Politik: Menanam Federation (1947)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 13 Okt 1947, seminggu sebelum Hartal. Bahagian akar pokok dalam kartun itu tertulis perkataan 'Federation'. 9 helai daun cabang belah atas tertulis nama 9 Negeri² Melayu; Perak, Selangor, N. Sembilan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kelantan, Kedah dan Johor. 2 helai daun cabang belah bawah tertulis nama 2 Negeri Selat; Pulau Pinang dan Melaka. 1 helai daun yang patah di atas tanah berlabel 'Singapura'.
Lengan baju Melayu tangan kanan yang memegang pokok belah bawah berlabel 'Sultan² dan Pekembar bersatu padu'. Lengan baju kot hitam tangan kanan yang memegang pokok belah atas berlabel 'Penaung'.
Kartun ini diiringi dengan dua rangkap pantun 6 baris yang berbunyi:
"Menanam Federation hampirlah gerangan,
Menurut kehendak si tangan kanan,
Penaung yang adil memberi sokongan,
Biarpun merentak satu golongan,
Kita berdoa kepada Khaliq Al-Bukhari*,
Apakala ditanam hiduplah pasti.
Berbuahkan kebajikan kepada negeri,
Untuk membela Melayu jati,
Kepada pembesar yang sangat diharap,
Jangan seperti lampu yang malap,
Bukan kecil benda diharap,
Tuntut yang hak betulkan yang khilap**."
* Tuhan
** Salah
Sumber: Akhbar Majlis, 13 Okt 1947
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
1:38 PG
0
ulasan
Kategori: Kartun Politik, UMNO
Khamis, Februari 14, 2008
Kartun Politik: Federation of Malaya (1947)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 22 Dis 1947. Federation of Malaya yang sepatutnya diisytihar secara rasmi menggantikan Malayan Union pada 1 Jan 1948 terpaksa ditunda kerana bantahan dan tentangan dari rakyat Malaya yang bergabung dalam PUTERA-AMCJA.
Kartun ini menunjukkan rintangan yang terpaksa dihadapi oleh UMNO dalam rancangannya dengan penjajah British untuk melaksanakan Federation of Malaya ciptaan mereka. Aku yakin kamu pasti kenal siapa pemimpin UMNO yang dikarikatur dalam kartun di atas.
Federation of Malaya akhirnya berjaya mereka tubuhkan pada 1 Feb 1948. Kesemua 9 Negeri² Melayu kembali kepada taraf negeri naungan di bawah Empayar British manakala 2 Negeri Selat, Penang dan Melaka terus kekal sebagai tanah jajahan. Raja² Melayu secara simbolik kembali menjadi pemerintah di negeri masing² di bawah telunjuk British.
Sumber: Akhbar Majlis, 22 Dis 1947
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
6:44 PTG
1 ulasan
Kategori: Kartun Politik, UMNO
Rabu, Februari 13, 2008
Kartun Politik: Hartal Se-Malaya (1947)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari majalah Kenchana bilangan 12, bertarikh 1 Nov 1947, sepuluh hari selepas mogok Hartal Se-Malaya. Kenchana merupakan majalah bulanan tulisan rumi yang diterbitkan 2 kali sebulan di Singapura di bawah ketua pengarang Harun Aminurrashid.
Sumber: Majalah Kenchana, Bilangan 12, 1 Nov 1947
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
9:29 PTG
0
ulasan
Kategori: Hartal, Kartun Politik
Kartun Politik: Hartal (1947)
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 27 Okt 1947, seminggu selepas mogok Hartal Se-Malaya. Meriam buluh yang diletupkan dalam kartun itu berlabel 'Hartal'. Kartun ini diiringi dengan serangkap pantun sindiran yang berbunyi:
"Di sana sini berdempang dempung,
Putera dan rakannya membedilkan betung,
Tegak serentak bersama Ah Chong,
Tetapi hartal tak bererti langsung."
Sumber: Akhbar Majlis, 27 Okt 1947
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
8:55 PTG
0
ulasan
Kategori: Kartun Politik
Selasa, Februari 12, 2008
Kartun Politik: Malaya Hak Melayu (1947)
Selepas Perang Dunia Kedua, dua suratkhabar utama tulisan jawi di Malaya ialah akhbar Majlis dari Kuala Lumpur dan akhbar Utusan Melayu dari Singapura. Sidang pengarang Majlis lebih pro-kanan manakala Utusan Melayu lebih pro-kiri.
Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 6 Sept 1947. Kartun politik yang sama boleh dilihat dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka. Tajuk yang terpampang di sebelah bawah kartun itu bertulis 'Malaya Hak Melayu'.
Di sebelah kiri atas kartun tersebut terdapat karikatur Gabenor Malayan Union, Edward Gent yang berkata:
"Malaya hak Melayu! Melayu tak ada negeri lain. Negeri China hak Cina. Negeri India hak Indian. Kamu orang dagang bila² suka ada negeri tempat kamu pindah."
Di bawah karikatur Edward Gent terdapat tiga karikatur "orang dagang" yang berdiri di atas jambatan: karikatur pedagang Cina, karikatur ceti India dan karikatur Dr. Burhanuddin Al-Helmy (PKMM) yang dilabel 'DR'. Karikatur pedagang Cina tersebut berkata (ditulis dengan pelat):
"Gua tak suka Fedelesyen. Fedelesyen atak, tentu Melayu sinang."
Di sebelah kanan atas pula terdapat karikatur seorang petani Melayu yang memegang padi, berdiri di tengah sawah di bawah bendera UMNO yang berkibar di hadapan rumahnya, sambil tersenyum.
Kartun politik ini juga disertakan dengan dua rangkap pantun yang berbunyi:
"Apabila Federation hampir terserlah,
Melayu nampaknya mendapat faedah,
Pekemam Putera mengapa gelisah?
Dengkikan Melayu mendapat tuah!"
"Negeri Melayu hak Melayu,
Ikan senohong bukannya yu,
Ah Chong tak boleh bertukar bulu,
Ramasamy tetap bercorak Hindu."
Menurut Yahya Nassim (PKMM) dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka, propaganda 'Ah Chong, Ramasamy' ini juga selalu dimainkan oleh akhbar pro-kanan seperti Majlis untuk "membencikan orang kepada kita", iaitu golongan progresif dalam PKMM dan PUTERA yang telah bekerjasama dengan semua kaum di Malaya untuk bersatu menentang cadangan Federation dan menuntut kemerdekaan dari penjajah British.
Sumber: Akhbar Majlis, 6 Sept 1948
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
1:26 PTG
3
ulasan
Kategori: Kartun Politik
Ahad, Januari 13, 2008
Kartun Politik: Democracy Ditahan Jajahan? (1947)
Pada petang Khamis, 13 Mac 1947, Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditahan oleh polis dan Special Branch Kerajaan Kolonial British dan dihadapkan ke mahkamah atas 3 tuduhan:
PERTAMA: Pada 21 Disember 1946, mengeluarkan sebuah buku kecil bernama "Testament Politik API" di Kuala Lumpur yang mengandungi perkataan² menghasut dan juga mengeluarkan perkataan "Merdeka dengan Darah", iaitu perbuatan menghasut mengikut undang² Sub-Section B, Tahun 1939.
KEDUA: Menerbitkan buku kecil tersebut adalah salah di sisi undang² Section 4, 1c undang2 13, Tahun 1939, dan 109 Penal Code.
KETIGA: Mencetak buku kecil tersebut, dituduh salah mengikut undang² seperti tuduhan kedua.
Ahmad Boestamam yang dibela oleh peguam John Eber (Malayan Democratic Union) telah didapati bersalah atas ketiga² tuduhan dan dikenakan hukuman denda $1,000 atau 6 bulan penjara kerjaberat untuk tuduhan pertama, $200 atau 1 bulan penjara untuk tuduhan kedua, dan $200 atau 1 bulan penjara untuk tuduhan ketiga. Dengan bantuan wang dari rakan2 perjuangannya, beliau memilih untuk membayar denda untuk mengelak dari dipenjara.
Ini satu contoh bagaimana Kerajaan Kolonial British mula mencengkam gerakan kiri dan menyekat ruang demokrasi rakyat. Seperti kata² Lim Kean Chye dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka, "the British were beginning to show their hands... that they're gonna come back very strong and restore Colonial rule..."
Dicatat oleh
Fahmi Reza
di
11:53 PG
0
ulasan
Kategori: Kartun Politik