Rabu, September 05, 2007

Artikel dari majalah Kenchana, Feb 1947

RA’YAT JELATA MELAYU JANGAN DI-BODOHKAN TERUS!

Soal Malayan Union sudah dapat dirobohkan oleh Orang Melayu Am apabila mereka ketahui Sultan2 Tanah Melayu menjualkan Kemerdahekaan Negeri Melayu kapada Kerajaan Inggeris dengan tidak berondeng dan tidak setahu Rakyat Jelata Melayu… dan kemudian orang Melayu dapat menebusnya samula.

Tetapi malang Tanah Melayu yang baharu ditebus oleh Rakyat Jelata itu telah hendak dimasokkan samula ka dalam lukah Inggeris oleh Raja2 Melayu dan Penganjor2 yang memikirkan dirinya telah penoh berkuasa diatas Rakyat Jelata, dan pekerjaan nya ini juga dengan tidak berondeng dengan Rakyat Jelata dan telah pandai2 berondeng dengan Kerajaan Inggeris meranchangkan pula PERSAKUTUAN NEGERI MELAYU, konon!

Apabila chadangan Persakutuan Negeri2 Melayu didzahirkan kepada pengetahuan ramai, Rakyat Jelata Melayu telah sama membantah tidak bersetuju dengan ranchangan itu kerana chadangan itu tidak berondeng dengan Rakyat Jelata dan chadangan dalam Perlembagaan baharu itu tidak berdasar Democratic! Chadangan itu tetap tidak mementingkan nasib Ra’yat Melayu Jelata, chadangan itu hanya untok faedah Raja2 Melayu dan Orang Besar2nya sahaja.

Bertambah malang nasib orang Melayu Jelata, apabila mereka bersuara membantah chadangan Perlembagaan baharu itu lalu mereka ditudoh dan dichap Menderhaka oleh Raja2 Melayu dan orang2 Besar serta Penganjor2nya yang hendak menipu rakyat Jelata.

Pehak Kenchana tetap berdiri disisi Rakyat Melayu Jelata dan mempertahankan Kedaulatan Rakyat, dengan sebab itu bersama2 dengan Rakyat Melayu Jelata membantah chadangan Perlembagaan baharu Malaya itu tidak sah karena ranchangan itu hanya diperbuat oleh 12 orang yang dilantek oleh Kerajaan Inggeris, bukan dari Rakyat Jelata ya’ni tidak berdasarkan Kedaulatan Rakyat.

Kerajaan Inggeris, Raja2 Melayu dan orang2 Besar Melayu patut mesti sedar, yang Rakyat Jelata Melayu masa ini bukan boleh disamakan seperti masa sabelum perang yang baharu lepas ini atau saperti orang Melayu zaman dahulu kala hanya menyerahkan nasibnya dan jiwa raganya kapada Raja2nya, atau kapada orang Besarnya, orang Melayu hari ini telah sedar dan mengerti tanggongan mereka kaatas Tanah Ayernya dan Bangsa nya, mereka tidak redza nasib mareka diperjudikan oleh Rajanya atau oleh Penganjornya kerana kepentingan diri Raja2 dan Penganjor2 itu, mereka berkehendakkan kemuliaan hidup dan Kemerdahekaan Bangsa dan Tanah Ayernya.

Sebab itu disini Kenchana berseru dan menchadangkan kapada Kerajaan Inggeris dan Raja2 Melayu serta Penganjor2 Melayu iaitu berhubong dengan pemerentah Malaya yang akan datang mestilah memakai Kedaulatan Rakyat yang sebenar, serta chorak pemerentahan yang hendak diadakan itu mestilah berundeng dan dapat persatujuan dari Rakyat Melayu Jelata, bukan hanya dengan Raja2 dan orang Besar2 Melayu yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.

Disini juga Kenchana memperingatkan kapada saudara2 sebangsa dan satanah ayer supaya lebeh ingat dan berjaga2 kena pelemah dari Kerajaan dan bangsa2 dagang yang hendak masokkan kita kedalam perangkap mereka, orang Melayu mesti sedar iaitu orang Melayu boleh merdaheka dan layak merdaheka saperti bangsa yang merdaheka dalam dunia ini.

Lagi Kenchana memperingatkan yang bangsa kita terjajah beratus tahun lamanya, dan kita telah berserah bulat nasib kita katangan Raja2 dan orang Besar2 dan akhirnya hingga hari ini kita telah nampak terang yang nasib bangsa Melayu amat burok iaitu: bodoh, miskin, melarat dan terhempet, kalah dalam segala perjuangan, maka semuanya ini kerana hanya kita perchaya dan ta’at kepada KETUA2 kita yang tidak mengindahkan nasib bangsanya, sebab itu bangkitan kita pada kali ini mestilah disusun dengan rapat dan rapi supaya jangan dapat lagi diperjudikan oleh Pengkhianat Bangsa dan Tanah Ayer yang bertopengkan pura2 menjadi PENYELAMAT BANGSA.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 2, Feb 1947

Tiada ulasan: