Khamis, September 06, 2007

Artikel asal untuk akhbar The Sun, 1 Ogos 2007

(Ini artikel asal yang aku tulis yang kemudiannya telah diterjemah dan diedit ke dalam bahasa Inggeris untuk akhbar The Sun, 1 Ogos 2007)

PERJUANGAN BERPERLEMBAGAAN GOLONGAN KIRI MENENTANG PENJAJAHAN KOLONIAL BRITISH
oleh Fahmi Reza

Pada 20 Oktober 1947, seluruh Malaya dan Singapura telah menyaksikan tindakan politik pertama yang melibatkan penyatuan rakyat pelbagai kaum — ‘Hartal’ seluruh Malaya.

‘Hartal’, satu mogok ekonomi menyeluruh yang digunakan secara berkesan dalam perjuangan kemerdekaan di India, telah digunakan buat pertama kali di Malaya oleh golongan politik kiri dalam PUTERA-AMCJA sebagai senjata melawan penjajahan British di Malaya.

PUTERA-AMCJA

PUTERA-AMCJA merupakan sebuah barisan bersatu dua gabungan politik besar di Malaya; Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

AMCJA ialah sebuah persekutuan parti-parti politik, kesatuan-kesatuan buruh, pesatuan-persatuan wanita dan organisasi-organisasi pemuda yang ditubuhkan pada 22 Disember 1946.

AMCJA dianggotai oleh Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU), 12 State Women’s Federation in Malaya, Malayan New Democratic Youth League (MNDYL), The Malayan People’s Anti-Japanese Ex-Service Comrades’ Association, serta badan-badan lain.

Walaupun didominasi oleh badan-badan politik kiri, AMCJA telah dipengerusikan oleh seorang kapitalis Peranakan Melaka yang terkenal, Tan Cheng Lock.

AMCJA bergerak atas 6 dasar:
1. Malaya bersatu, termasuk Singapura
2. Satu dewan perundangan pusat bagi seluruh Malaya yang dilantik sepenuhnya oleh rakyat melalui pilihanraya
3. Hak-hak politik yang sama bagi semua yang menganggap Malaya sebagai tanahairnya dan sebagai tumpuan taat setianya
4. Sultan-sultan Melayu haruslah mengambil tempatnya sebagai Raja-raja perlembagaan yang berdaulat penuh dan menerima nasihat-nasihat rakyat melalui institusi-institusi yang demokratik, bukan ‘penasihat-penasihat’ Inggeris
5. Hal-elwal agama Islam dan adat istiadat Melayu haruslah diletak di bawah penguasaan orang-orang Melayu
6. Perhatian khas haruslah diberikan kepada kemajuan orang-orang Melayu

PUTERA pula merupakan sebuah gabungan badan-badan politik kiri Melayu yang ditubuhkan pada 22 Februari 1947, dianggotai oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Gerakan Angkatan Muda (GERAM), Lembaga Persatuan Melayu Johor, serta lain-lain persatuan-persatuan yang kecil.

PUTERA dipengerusikan oleh Ishak Haji Muhammad, seorang wartawan dan tokoh nasionalis yang merupakan salah seorang pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938. Terdapat 14 dasar yang menjadi matlamat PUTERA:
1. Malaya Bersekutu termasuk Singapura dan lain-lain pulau sekelilingnya
2. Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan ‘Melayu’ (dengan pengertian yang luas dan progresif)
3. Bahasa Melayu haruslah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Malaya
4. Bendera Kebangsaan dan lagu Kebangsaan untuk Malaya ditetapkan bagi mendapat Malaya Bersekutu dan Malaya Merdeka
5. Kerajaan Pusat Malaya dan Kerajaan negeri yang sepenuh-penuhnya dilantik oleh rakyat jelata
6. Raja-raja Melayu sebenarnya Raja yang berdaulat yang bertanggungjawab kepada rakyat menerusi Majlis Mesyuarat yang dilantik rakyat
7. Perlembagaan baru mestilah mempunyai syarat-syarat yang khas untuk kemajuan politik, ekonomi, pelajaran bangsa Melayu
8. Ugama Islam dan adat istiadat Melayu sepenuhnya dikuasai oleh rakyat jelata bangsa Melayu menerusi Majlis Mesyuarat yang istimewa
9. Hak-hak kerakyatan yang sama rata bagi orang-orang yang mahu tinggal tetap di Tanah Melayu ini dan mengaku dengan sumpah taat setia kepada Malaya
10. Pertahanan dan hal-ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan Malaya dan Kerajaan British buat sementara
11. Menolak bulat-bulat cadangan Perlembagaan Federation
12. Menuntut Jawatankuasa Perundingan dimansuhkan
13. Menuntut Kerajaan mengadakan perundingan baru dengan badan politik berhubung dengan Perlembagaan Federation
14. Mendesak Sultan-sultan dan Pekembar jangan menerima cadangan Perlembagaan Federation

PUTERA-AMCJA telah berjaya menggabungkan semua badan-badan politik yang terdapat di Malaya kecuali United Malays National Organisation (UMNO) dan Communist Party of Malaya (CPM), dalam satu barisan popular rakyat untuk membantah Perlembagaan Federation yang digubal oleh Kerajaan Kolonial British bagi menggantikan Malayan Union.

Mereka membantah Perlembagaan Federation yang dianggap sebagai tidak demokratik kerana Perlembagaan tersebut telah dirangka melalui rundingan sulit antara Kerajaan Kolonial dengan golongan bangsawan Melayu dan mengetepikan pendapat dan kehendak rakyat jelata Malaya yang mahukan demokrasi dan hak berkerajaan sendiri.

Mereka mengecam tindakan Kerajaan Kolonial yang hanya berunding dengan satu pihak itu sebagai taktik ‘pecah dan perintah’ untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat.

PUTERA-AMCJA telah mengemukakan bantahannya melalui rapat-rapat umum di seluruh Malaya. Dalam setiap perhimpunan yang dihadiri ribuan rakyat pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin PUTERA-AMCJA seperti Tan Cheng Lock, Ishak Haji Muhammad, John Thivy, Philip Hoalim Sr., Dr. Burhanuddin Helmy, Gerald de Cruz, Ahmad Boestamam, K. Ganapathy dan Shamsiah Fakeh telah menyampaikan pidato-pidato yang menerangkan kepentingan untuk rakyat segala bangsa bersatu menentang Perlembagaan Federation dan menyokong perjuangan PUTERA-AMCJA.

PUTERA-AMCJA turut menganjurkan mesyuarat-mesyuarat massa di seluruh Malaya untuk meluluskan resolusi-resolusi membantah Perlembagaan Federation. Beratus-ratus telegram dan surat-surat bantahan telah dihantar kepada Kerajaan Kolonial British. Tetapi segala bantahan ini langsung tidak dipedulikan oleh British.

PERLEMBAGAAN RAKYAT

PUTERA-AMCJA menyedari bahawa satu program yang lebih tegas dan progresif perlu dicipta untuk memenangi sokongan massa rakyat yang lebih luas. Mulai bulan Mei 1947, PUTERA-AMCJA mula merangka sebuah perlembagaan alternatif bagi menyaingi Perlembagaan Federation. Pada 10 Ogos 1947, Perlembagaan Rakyat telah siap disusun dengan mengambil kira pendapat dan aspirasi pelbagai kelompok dalam perikatan PUTERA-AMCJA.

Akhbar the Straits Times telah menggelar Perlembagaan Rakyat sebagai ‘the first political attempt to put Malayan party politics on a plane higher than that of rival racial interests, and also as the first attempt to build a political bridge between the domiciled non-Malay communities and the Malay race.’

Perlembagaan Rakyat merupakan sebuah dokumen komprehensif yang merangkumi peruntukan untuk sebuah sistem kerajaan yang demokratik ke arah pembentukan sebuah kebangsaan dan negara-bangsa baru yang merdeka.

Pada 21 September 1947, Perlembagaan Rakyat telah dipersembahkan buat pertama kalinya di hadapan lebih 20,000 rakyat yang berhimpun dalam rapat umum di Farrer Park, Singapura. Dari situ bermulalah kempen kebangsaan PUTERA-AMCJA untuk menjelaskan isi kandungan Perlembagaan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaya.

Perjumpaan, rapat-rapat umum, dan demonstrasi telah diadakan di merata tempat untuk mendapatkan sokongan rakyat. Perlembagaan Rakyat telah diterbitkan dalam 4 bahasa dan disebarkan ke seluruh Malaya.

Salinan Perlembagaan Rakyat juga telah dihantar kepada Kerajaan Malayan Union, Perdana Menteri Great Britain dan Colonial Office di London. Tetapi sekali lagi, pihak British terus tidak mengindahkan PUTERA-AMCJA, enggan dibawa berbincang, dan menolak segala cadangan yang terkandung di dalam Perlembagaan Rakyat.

HARTAL SE-MALAYA

Pada 6 Oktober 1947, bagi memperhebatkan bantahan mereka, PUTERA-AMCJA telah mengeluarkan ‘Manifesto Hartal’ yang menyeru ‘upon all those who regard Malaya as their real home, to observe 20 October 1947 as a Day of Protest against the Revised Constitutional Proposals, by staging a Malaya-wide Hartal on that day.’

‘October 20 has been selected as the Day of Protest because it is on that day that the British Parliament is scheduled to begin its Autumn session, during which it is reported that a debate on the constitutional issue in Malaya will take place.’

‘On October 20, therefore, between the hours of six a.m. and midnight, all those who regard Malaya as their real home and who support the People’s Constitutional Proposals issued by PUTERA-AMCJA, are asked not to carry out their usual occupations, but to remain indoors throughout the day and night.’

‘You are asked for one day to cease work in order to demonstrate to government that you reject the undemocratic Revised Constitutional Proposals, and in order to carry our struggle for acceptance of the People’s Constitution one step further.’

‘October 20 is the day on which the people of Malaya will be called upon to stage the greatest political demonstration that this country has ever seen.’


Mulai 7 Oktober 1947, bermulalah kempen propaganda PUTERA-AMCJA untuk menjayakan Hartal Se-Malaya bagi membuktikan pada Kerajaan Kolonial British sokongan padu massa rakyat dibelakangnya.

‘Panduan Hartal’, yang menerangkan langkah-langkah untuk menjalankan dan menjayakan Hartal dan ‘12 Slogan Hartal’ telah dihantar kepada media, kepada semua badan-badan yang bergabung dalam PUTERA-AMCJA dan kepada 30 pusat-pusat gerakan PUTERA-AMCJA di seluruh Malaya untuk diterjemah dan disebarkan kepada rakyat.

’Jawatankuasa Hartal’ telah disusun di setiap negeri untuk menyelaras dan merancang aktiviti-aktiviti propaganda untuk Hartal. Lebih 300 ‘Propaganda Corps’ turut dibentuk untuk menjelajah ke setiap pekan, daerah dan kampung untuk menampal poster-poster serta menyebar risalah-risalah menerangkan tujuan tindakan Hartal dijalankan.

Maka, pada 20 Oktober 1947, bermula dari jam 6 pagi, seluruh Malaya telah berhartal. Peniaga tidak membuka kedai, buruh tidak turun ke lombong, pekerja tidak pergi ke kilang dan pelabuhan, penoreh tidak keluar menoreh, petani tidak turun ke bendang, nelayan tidak turun ke laut, suri rumah tidak turun ke pasar, pemuda-pemudi tidak turun ke taman-taman hiburan. Hanya pejabat Kerajaan Kolonial, syarikat perniagaan Eropah, dan beberapa kedai-kedai sahaja yang berjalan seperti biasa.

Kerajaan Kolonial British telah dianggarkan menanggung kerugian sebanyak 4 juta pound sterling akibat dari mogok Hartal itu.

Menurut PUTERA-AMCJA, Hartal juga merupakan ‘a unique method of political education. It brought the constitutional issue into every home in the country, and confronted every man, woman and child with this issue. Even in the Government English schools, children in the fourth and fifth standards questioned their teachers about the Hartal, asked about its nature and why the Government was opposed to it.’

Walaupun Hartal telah berjaya dijalankan dengan cemerlang, tetapi ia gagal mengubah dasar British dalam soal perlembagaan. Kerajaan Kolonial British menolak bulat-bulat Perlembagaan Rakyat dan terus komited pada perjanjiannya dengan golongan bangsawan Melayu dan mempertahankan Perlembagaan Federation.

Pada 1 Februari 1948, Perlembagaan Federation telah diguna-pakai dalam Federation of Malaya yang menggantikan Malayan Union.

Bagi memadamkan bantahan PUTERA-AMCJA terhadap Federation of Malaya dan tututan kemerdekaan mereka yang semakin lantang, Kerajaan Kolonial British telah mengisytiharkan undang-undang Darurat pada 18 Jun 1948. Beribu-ribu pemimpin dan anggota PUTERA-AMCJA telah ditangkap. Ramai yang merengkok bertahun-tahun dalam tahanan dan ramai juga yang dibuang negeri. Kebanyakan badan-badan politik dalam PUTERA-AMCJA telah diharamkan atau dibubarkan. Detik ini merupakan titik-tolak yang menandakan permulaan dan penghabisan perjuangan berperlembagaan golongan kiri dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk Malaya.

Tiada ulasan: