Isnin, Oktober 22, 2007

Terjemahan artikel dalam akhbar 光华日报 (Kwong Wah Yit Poh), 12 Oktober 2007

Berikut merupakan terjemahan kepada artikel dalam akhbar Kwong Wah yang keluar sebelum Aidilfitri tempoh hari. Terima kasih kepada Ginie Lim yang telah membantu dengan terjemahan. Klik sini untuk membaca artikel asal: 完整的历史真相


KEBENARAN SEJARAH YANG LENGKAP
oleh Ng Miew Luan

Fahmi Reza telah membawa filem dokumentarinya "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" ke Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lepas. Dokumentari sejarah yang mengambil masa 33 minit ini telah mendedahkan sejarah perjuangan kemerdekaan negara oleh gerakan kiri, yang selama ini tercicir dari buku teks sejarah di sekolah, melalui penceritaan bekas pejuang-pejuang kemerdekaan.

Siapakah Fahmi? Saya tidak mengenali dia. Pertama kali saya bertemu dengan dia adalah ketika dia hadir untuk tayangan "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" di Han Chiang College. Dia adalah penerbit serta pengarah filem itu. Ketika berdiskusi selepas tayangan filem, Fahmi yang sekadar memperkenalkan dirinya sebagai pekerja seni dalam blognya (http://10tahun.blogspot.com), mengatakan bahawa dia tamat pengajian tinggi di sebuah universiti di US.

Setelah menonton filem pertama Fahmi ini, saya serta seorang wartawan veteran sepakat kata bahawa dia adalah seorang anak muda yang bijak.

Menurut Fahmi, buku teks sejarah telah mencatitkan sejarah rakyat menentang Malayan Union pada tahun 1946, serta sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, namun tercicir pula sejarah perjuangan kemerdekaan dan kempen hartal yang dipelopori oleh AMCJA-PUTERA pada tahun 1947, sekali gus kandungan Perlembagaan Rakyat yang terbentuk pada tahun 1947.

Ramai generasi muda hari ini berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan di luar negara. Maka munculah golongan muda kaum Melayu seperti Amir Muhammad dengan filemnya "Lelaki Komunis Terakhir" dan "Apa Khabar Orang Kampung", serta Fahmi Reza dengan filemnya "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka", yang berusaha mengembalikan detik-detik sejarah negara penting yang cuba dihapuskan oleh kuasa pemerintah.

"Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" telah memberikan kita pengajaran dan iktibar yang penting: Sejauhmanakah kita dapat percayai sepenuhnya maklumat dalam buku teks sejarah?

Sebagai anak rakyat Malaysia, adalah wajar kita persoalkan: Siapakah yang memiliki kuasa dan kemudahan untuk mentafsirkan sejarah? Adakah maklumat buku teks lengkap? Mengapakah sebahagian sejarah dalam buku teks dihapuskan secara sengaja?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pemerintahlah yang memiliki kuasa untuk mentafsirkan sejarah. Salah satu contoh ialah nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan pengasas MCA Dr Lim Chong Eu telah dilucutkan daripada senarai bekas Presiden MCA sehingga baru-baru ini namanya dipulihkan dalam sejarah MCA.

Sekiranya sejarah sesebuah parti dapat diputarbelitkan sewenang-wenangnya, maka negara dengan jenteranya yang begitu besar, sememangnya dapat memadamkan sebahagian sejarah negara dengan mudah.

Masyarakat kita memerlukan ramai lagi orang muda seperti Fahmi dan Amir Muhammad yang kembali ke negara untuk mencari kebenaran sejarah setelah menerima zat-zat demokrasi yang secukupnya di luar negara.

Malangnya, suratkhabar yang sepatutnya mencatitkan sejarah perkembangan masyarakat masih dikawal ketat sehingga hari ini, dan makin lesu fungsinya. Sejarah lisan pula berperanan sebagai rujukan kepada sejarah penulisan. Nampaknya jikalau kita ingin melakarkan sebuah lukisan sejarah yang lengkap, kita mesti sanggup berdada lapang dan menerima pelbagai maklumat dan pandangan yang berbeza.


Sumber: Kwong Wah e-Newspaper, 12 Oktober 2007.

Tiada ulasan: