Sabtu, Oktober 20, 2007

Artikel dari akhbar Utusan Melayu, 20 Okt 1947

PIHAK KANAN BERSUKARIA ESOK

Pihak Pergerakan Melayu Semenanjung daerah Batu Pahat, menurut kawat yang kita terima, akan mengadakan berbagai-bagai temasya laut dan darat kerana menyambut Perlembagaan Persekutuan Negeri Melayu pada siang dan malam 20 Oktober ini iaitu nampaknya sebagai satu gerakan balas terhadap hartal yang sangat ditentang oleh pihak kanan Melayu.

Adalah diberitakan di antara program-program sambutan yang dianjurkan oleh Pergerakan daerah Batu Pahat bagi merayakan Perlembagaan Federation itu maka pada hari Isnin 20 Oktober Tuan Haji Salim bin Bilal seorang daripada pengawas-pengawas pasar Melayu adalah membuka peluang percuma kepada sekalian penjaja-penjaja dan ahli-ahli perniagaan boleh datang berjual di pasar Melayu itu dengan percuma.

Berbagai-bagai rupa kedai jualan akan diadakan oleh Kaum Ibu Pergerakan dengan harga yang murah. Orang ramai Melayu am adalah dijemput datang membeli barang-barang jualan daripada kain baju, alatan perhiasan rumahtangga dan keperluan hari-hari. Jualan-jualan makanan dan minuman akan diadakan juga – kata wakil kita di Selatan.


Sumber: Akhbar Utusan Melayu, 20 Oktober 1947

Tiada ulasan: