Tajuk: Dr. Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam
Pengarang: Kamarudin Jaffar
Penerbit: Yayasan Anda Sdn. Bhd., Kuala Lumpur
Tahun: 1980 (Cetakan pertama)
Mukasurat: 247 halaman
Design kulit: Kumpulan S & J
Availability: Perpustakaan Negara Malaysia
Call No. (Rujukan): 923.2595 BUR M
Buku ini mengumpulkan tulisan² politik serta pidato² Dr. Burhanuddin Al-Helmy (1911-1969) dari 1946 hingga 1964 yang diselitkan antara komentar yang ditulis oleh Kamarudin Jaffar.
Bagi yang tak mengenali Dr. Burhanuddin, silalah baca artikel ini atau dengar lagu ini. Atau lebih baik kalau kamu boleh baca terus buku ini di perpustakaan.
Dalam ruang pendahuluan buku ini Kamarudin Jaffar telah menulis:
"Adalah diakui umum bahawa Dr. Burhanuddin al-Helmy merupakan seorang tokoh terkemuka di alam Melayu ini. Sumbangan beliau di bidang politik, perjuangan kemerdekaan dan ilmu perubatan serta peranan Islam yang diletakkan oleh beliau di bidang-bidang tersebut perlu sekali dipelajari oleh masyarakat kita hari ini. Agak malang tulisan-tulisan Dr. Burhanuddin ini sudah tidak kedapatan lagi di pasaran hari ini, dan naskah-naskah lama tulisan-tulisan beliau itu jika pun dijumpai oleh generasi muda sekarang biasanya tidak dapat dimanafaatkan kerana gaya bahasa dan tulisan jawi sudah menjadi agak "asing" kepada kebanyakan dari kita. Keadaan begini amat dirasai sekali khususnya ketika saya mengajar kursus "Pemikiran Polltik Melayu" (dalam mana pemikiran politik Dr. Burhanuddin ada dibincang) di universiti. Adalah diharapkan bahawa melalui buku ini tulisan-tulisan dan ucapan-ucapan Dr. Burhanuddin akan dapat sekurang-kurangnya diketahui semula oleh masyarakat hari ini."
Walaupun falsafah dan pemikiran Dr. Burhanuddin sudah agak outdated untuk zaman sekarang, tetapi ia tetap bahan bacaan penting untuk memahami falsafah perjuangan rakyat semasa zaman awal kebangkitan nasionalisme di Malaya.
Dalam buku Falsafah Kebangsaan Melayu (1954) beliau telah menulis:
"Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno."
Kebangsaan Melayu yang tidak sempit, terbuka dan inklusif terhadap masyarakat berbilang-kaum inilah yang disyorkan oleh PUTERA-AMCJA dalam Perlembagaan Rakyat 1947 kerana mengikutnya, kebangsaan ini bukan berasaskan kepada darah keturunan sebagai syarat perjuangan atau keanggotaannya.
Jika perjuangan Dr. Burhanuddin bersama Ibrahim Yaacob dalam Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) telah berhasil dan mereka berjaya mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu serentak dengan Indonesia selepas pendudukan Jepun pada bulan Ogos 1945, tidak mustahil sejarah akan melihat Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Perdana Menteri Malaya Merdeka yang pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan