Khamis, Mac 13, 2008

Buku: Ishak Hj. Muhammad - Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan (1996)



Tajuk: Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan
Pengarang: Ishak Hj. Muhammad (1909-1991)
Penerbit: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia
Tahun: 1996 (Cetakan pertama), 1997 (Cetakan kedua)
Mukasurat: 256 halaman

Availability: Perpustakaan Negara Malaysia
Call No. (Rujukan): 928.9923 ISH M
Call No. (Pinjaman): 928.9923 ISH D

Ishak Hj. Muhammad (1909-1991) yang lebih dikenali dengan nama Pak Sako merupakan seorang wartawan, sasterawan, nasionalis dan ahli politik yang unggul.

Beliau merupakan salah seorang pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM), pengerusi perikatan Pusat Tenaga Ra'ayat-All Malaya Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA), Yang Dipertua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ketiga, Presiden Parti Buruh Malaya dan pemimpin Fron Sosialis Rakyat Malaya. Seperti Yahya Nassim, Hashim Said, Zainuddin Andika dan Majid Salleh, Pak Sako turut sama ditangkap oleh penjajah British semasa Darurat dan merengkok dalam tahanan selama 5 tahun.

Buku berbentuk memoir ini merupakan kompilasi tulisan Pak Sako dalam akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 1976. Ia menceritakan pengalaman beliau dari kecil hingga ke tahun 1970-an. Malangnya beliau tidak banyak menulis tentang pengalaman semasa beliau memimpin PKMM dan PUTERA-AMCJA, ataupun peristiwa pembentukan Perlembagaan Rakyat dimana beliau telah terlibat secara langsung.

Beliau juga langsung tidak menulis tentang mogok Hartal Se-Malaya kerana mungkin dibatasi oleh hakikat bahawa memoir ini asalnya ditulis untuk media arus perdana.

A. Samad Ismail dalam kata pendahuluannya telah menulis:

"Sebagai remaja, model saya bukan wartawan atau sasterawan di Amerika atau di Eropah. Model saya ialah Pak Sako dan Kajai. Malah Sako menjadi wira generasi muda sebelum perang... Sako ketika itu merupakan seorang anak muda yang gagah dan tampan. Dia sudah menempa nama sebagai wartawan dan sasterawan, juga sebagai nasionalis yang mempunyai karismanya sendiri."

Tiada ulasan: