Selasa, Februari 12, 2008

Kartun Politik: Malaya Hak Melayu (1947)

Klik pada imej untuk besarkan.

Selepas Perang Dunia Kedua, dua suratkhabar utama tulisan jawi di Malaya ialah akhbar Majlis dari Kuala Lumpur dan akhbar Utusan Melayu dari Singapura. Sidang pengarang Majlis lebih pro-kanan manakala Utusan Melayu lebih pro-kiri.

Kartun politik dalam gambar di atas diambil dari akhbar Majlis bertarikh 6 Sept 1947. Kartun politik yang sama boleh dilihat dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka. Tajuk yang terpampang di sebelah bawah kartun itu bertulis 'Malaya Hak Melayu'.

Di sebelah kiri atas kartun tersebut terdapat karikatur Gabenor Malayan Union, Edward Gent yang berkata:
"Malaya hak Melayu! Melayu tak ada negeri lain. Negeri China hak Cina. Negeri India hak Indian. Kamu orang dagang bila² suka ada negeri tempat kamu pindah."

Di bawah karikatur Edward Gent terdapat tiga karikatur "orang dagang" yang berdiri di atas jambatan: karikatur pedagang Cina, karikatur ceti India dan karikatur Dr. Burhanuddin Al-Helmy (PKMM) yang dilabel 'DR'. Karikatur pedagang Cina tersebut berkata (ditulis dengan pelat):

"Gua tak suka Fedelesyen. Fedelesyen atak, tentu Melayu sinang."

Di sebelah kanan atas pula terdapat karikatur seorang petani Melayu yang memegang padi, berdiri di tengah sawah di bawah bendera UMNO yang berkibar di hadapan rumahnya, sambil tersenyum.

Kartun politik ini juga disertakan dengan dua rangkap pantun yang berbunyi:

"Apabila Federation hampir terserlah,
Melayu nampaknya mendapat faedah,
Pekemam Putera mengapa gelisah?
Dengkikan Melayu mendapat tuah!"

"Negeri Melayu hak Melayu,
Ikan senohong bukannya yu,
Ah Chong tak boleh bertukar bulu,
Ramasamy tetap bercorak Hindu."

Menurut Yahya Nassim (PKMM) dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka, propaganda 'Ah Chong, Ramasamy' ini juga selalu dimainkan oleh akhbar pro-kanan seperti Majlis untuk "membencikan orang kepada kita", iaitu golongan progresif dalam PKMM dan PUTERA yang telah bekerjasama dengan semua kaum di Malaya untuk bersatu menentang cadangan Federation dan menuntut kemerdekaan dari penjajah British.

Klik pada imej untuk besarkan.


Sumber: Akhbar Majlis, 6 Sept 1948

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jahat Benar Wartawan yang disuap oleh British dan Umno

Fahmi Reza berkata...

cabaran kita sekarang ialah untuk ambil ikhtibar dari sejarah supaya jadi lebih kritis dan tidak termakan dengan propaganda perkauman yang masih diguna-pakai oleh pemerintah sekarang untuk memecah-belahkan rakyat mengikut kepentingan kaum masing2 dan bukan kepentingan bersama merentasi kaum

awang kata berkata...

Akhbar Melayu 'Majlis' bertulisan jawi wajar diterbitkan semula. Hidupkan kembali akhbar Majlis dan wajibkan setiap Melayu memilikinya.

Cetak semula edisi akhbar Majlis untuk tatapan generasi kini.