Selasa, Mac 11, 2008

Buku: Ahmad Boestamam - Merintis Jalan Ke Punchak (1972)



Tajuk: Merintis Jalan Ke Punchak
Pengarang: Ahmad Boestamam
Penerbit: Penerbitan Pustaka Kejora, Kuala Lumpur
Tahun: 1972 (Cetakan pertama)
Mukasurat: 126 halaman
Design kulit: Nas Achnas

Availability: Perpustakaan Negara Malaysia
Call No. (Rujukan): 959.504 AHM M

Inilah buku pertama yang aku baca waktu mula mengkaji tentang sejarah politik kiri beberapa tahun yang lalu. Aku jumpa buku ini di Perpustakaan Negara.

Buku berbentuk memoir ini ditulis oleh Ahmad Boestamam (1920-1983), pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan ketua Angkatan Pemuda Insaf (API). Aku rasa inilah buku memoir politik pertama yang ditulis tentang perjuangan politik kiri di Malaysia. Ia menceritakan pengalaman politik beliau antara tempoh selepas pendudukan Jepun (1945) hingga waktu beliau ditangkap semasa Darurat (1948).

Bab 22 dalam buku inilah yang menjadi sumber inspirasi utama untuk aku bikin dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka.

Pada tahun 2004, isi kandungan buku ini telah diterbitkan semula dalam buku kompilasi Memoir Ahmad Boestamam - Merdeka Dengan Darah Dalam Api keluaran Penerbit UKM yang turut memuatkan 2 buku lain tulisan beliau - Lambaian Dari Punchak (1983) dan Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976).

Buku ini juga telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris oleh William R. Hoff, penulis buku The Origins of Malay Nationalism (1967), dengan tajuk Carving the Path To The Summit pada tahun 1979.

Di bawah ialah kata pengantar yang ditulis oleh Boestamam untuk buku Merintis Jalan Ke Punchak.


KATA PENGANTAR

Malaysia sekarang sudah merdeka. Bukan sekadar merdeka saja bahkan sudah hampir lima belas tahun pula usianya.

Kemerdekaan dapat diibaratkan seperti suatu punchak - punchak dari sebuah gunung yang tinggi. Jalan ke punchak ini penuh unak dan duri, penuh rintangan dan halangan. Untuk sampai disana ketekunan berjalan, kesabaran, keberanian, kegigihan dan seumpamanya diperlukan.

Baqaimanakah jalan kesana - jalan ke Malaysia Merdeka - telah dirintis? Siapakah perintis2nya? Pertanyaan2 ini dapat dijawab oleh buku kechil ini.

Kira2 dalam bulan Mach-April tahun 1971 seorang hamba Allah yang bernama Hashim Al sechara mendadak saja telah mendakwa dirinya salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), partai yang pertama dinegeri ini menuntut KEMERDEKAAN PENUH atau KEMERDEKAAN SERATUS PERATUS.

Dakwaan ini mendorong saya menuliskan 26 buah renchana bersiri yang kemudiannya disiarkan dalam BERITA MINGGU - mingguan berbahasa Malaysia yang diterbitkan oleh Kumpulan Akhbar Straits Times, Kuala Lumpur. Maka renchana2 bersiri inilah yang sekarang saya kumpulkan kedalam buku ini setelah membaikinya disana sini sehingga menghilangkan sifat renchananya tadi.

Tujuan saya membukukan renchana2 bersiri tersebut sama saja dengan tujuan saya menuliskannya dulu yaitu untuk memberikan gambaran yang sebenar tentang bagaimana jalan kepunchak itu telah dirintis dan siapa dia para perintisnya supaya tidaklah kemudian kelak 'lembu yang punya susu sapi pula yang dapat nama'.

Perintisan jalan kepunchak ini mungkin dapat dilupakan orang, sebagai individu, sechara disengajakan atau tidak, tetapi sejarah yang tulen tentu tidak mungkin akan dapat melupakannya.

Semoga buku kechil ini ada juga gunanya kepada penulis2 sejarah tulen ditanahair kita ini.

Kuala Lumpur,
Ogos 1972.

......................................................- AHMAD BOESTAMAM -

Tiada ulasan: