


Tajuk: Kebenaran
Pengarang: Jaafar Hussin (1923-)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 1989 (Cetakan pertama)
Mukasurat: 180 halaman
Availability: Perpustakaan Negara Malaysia
Call No. (Rujukan): 923.29595 JAA M
PRAKATANEGARA kita telah bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris sejak 31 Ogos 1957. Hingga 1988, kemerdekaan itu sudah berusia 31 tahun. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pejuang-pejuang
UMNO yang telah berjuang menentang
Malayan Union pada tahun 1946 dahulu telah diberi penghormatan oleh pihak kerajaan pada setiap kali hari kebangsaan atau hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Bagi saya penghormatan semacam itu belum setimpal dengan pengorbanan yang telah ditunjukkan.
Secara peribadi saya berpendapat, penghormatan yang diberikan itu bagaikan sebuah teka-teki yang sukar hendak ditafsirkan. Apakah hanya penentang-penentang
Malayan Union itu sahaja yang boleh dianggap pejuang kemerdekaan?
Adakah pejuang-pejuang yang sanggup bermati-matian dan berjuang menentang Inggeris pada zaman penjajah dahulu tidak wajar dianggap pejuang? Apakah pejuang-pejuang Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua dahulu tidak perlu dicatatkan dalam lembaran sejarah tanahair sebagai tatapan generasi sekarang dan akan datang?
Apakah pejuang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang terang-terang
anti komunis itu tidak bererti sama sekali dalam perjuangan mewujudkan sebuah negara yang merdeka?
Di antara titisan air mata inilah saya cuba menulis perihal perjuangan yang telah dilalui itu. Tegasnya, ia tidak bermaksud untuk meminta balasan daripada pemerintah sekarang, tapi lebih berhasrat untuk membetulkan beberapa fakta dan perjalanan sejarah yang mana disedari atau tidak, sedang dan akan dilupakan begitu sahaja oleh generasi sekarang dan akan datang.
Sebenarnya saya bukanlah seorang pemimpin besar seperti almarhum Ibrahim bin Haji Yaakub, almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy, Bung lshak bin Haji Muhammad atau almarhum Datuk Ahmad Boestamam, tapi saya adalah seorang anak peribumi yang ikut serta memberikan saham dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara ini. Sebagai 'Pemimpin Kecil Kuala Semantan', mengikut istilah Sasterawan Negara Kamaluddin Haji Muhammad (Keris Mas) dalam sebuah cerpennya, malangnya pihak pemerintah tidak mengakui sumbangan dan jasa yang telah ditaburkan itu.
'Orang-orang yang Dilupakan itu', sama ada yang sudah meninggal dunia mahupun yang masih hidup adalah puluhan ribu jumlahnya. Mereka adalah anak watan yang telah meninggalkan budi di setiap pelosok bumi tercinta ini.
Buku ini sengaja dipersembahkan kepada sidang pembaca untuk mengenang kembali mereka yang telah memberikan saham membebaskan tanahair mereka dengan harapan segala pengorbanan itu akan mendapat ganjaran daripada manusia dan Allah
s.w.t. yang amat pengasih dan penyayang. Sudi apalah jua kiranya kita menghadiahkan bacaan
al Fatihah kepada mereka yang telah menemui Tuhannya.
Amin ya rabbulalamin.......................................................Jaafar bin Hussin